Gangguan Regulasi Emosi (Emotional Dysregulation)

Emotional dysregulation atau gangguan regulasi emosi adalah cabaran besar yang dihadapi oleh ramai ADHD dewasa.

Seorang yang mengalaminya merasai emosi-emosi biasa orang lain (sedih, marah, gembira dan sebagainya), tetapi mereka sukar mengendalinya dengan baik.

Apabila marah, mudah menjadi sangat marah dan sukar meredakan kemarahan itu. Ia bukan ‘mainan perasaan’.

Sebaliknya sains moden membantu kita memahami bagaimanakah otak manusia menguruskan emosi.

Dari mana emosi itu terbit, dan bahagian otak yang mana pula menguruskannya.

Apabila seorang ADHD itu mengalami defisit frontal lobe di bahagian hadapan struktur otak, ia menjelaskan kepincangan fungsi eksekutif yang beroperasi di situ. Salah satu kesannya adalah kelemahan ia pada menguruskan emosi yang terbit daripada lymbic system.

Seorang ADHD yang mengalami emotional dysregulation mungkin biasa sangat dilabel sensitif, dan berhati tisu.

Media sosial kita memperkenalkan istilah “koyak ke tu?” sebagai ekspresi yang menggambarkan emosi yang terjejas itu sebagai lemah.

Ia boleh memburukkan keadaan kesihatan mental masyarakat apabila kelemahan emosi menjadi sasaran buli, bukan hanya di kalangan kanak-kanak malah golongan dewasa dan berpendidikan.

Justeru seorang ADHD dewasa, perlu kepada intervensi yang bersesuaian, serta strategi yang baik untuk menjaga kesihatan diri.

Agak malang, ‘berhati tisu’ dan ‘koyak’ itu menjadi bahan ejekan, termasuk di kalangan umat Islam.

Mereka terlupa barangkali bagaimana Rasulullah ﷺ memberhentikan pembelajaran Malik bin al-Huwairith dan anak muda yang bersama apabila mereka rindukan keluarga.

Terlupa kepada Nabi Ya’qub ‘alayhi al-salam yang menangis hingga hilang penglihatan apabila anak-anaknya berkasar dan terus menerus menyakiti perasaan baginda selepas kehilangan Yusuf ‘alayhi al-salam.

Teringat saya kepada kisah Abu Bakr al-Siddiq radiallahu ‘anhu seperti di dalam catatan al-Bidayah wa al-Nihayah oleh Ibn Kathir rahimahullah. “Janganlah dilantik Abu Bakr menjadi imam. Hatinya rapuh, mudah menangis dan sukar menahan air mata. Ayahandaku tidak boleh mengimamkan solat, nanti bacaannya tidak didengar oleh makmum,” kata Aishah radiallahu ‘anha.

Beliau beberapa kali merayu kepada suaminya, Nabi Muhammad ﷺ agar tidak melantik ayahnya Abu Bakr radiallahu ‘anhu menjadi imam solat menggantikan baginda yang sedang gering.

Rasulullah ﷺ menolak dan bertegas mahukan Abu Bakr mengimamkan solat. “Kamu semua ini seperti ‘sawahib’ Yusuf!” kata baginda.

Ia bermaksud, cakap lain maksud lain.

Permintaan Aishah itu seperti kata-kata ‘Zulaika’ dan wanita-wanita yang dijemput ke jamuan di istana al-‘Aziz. Zahirnya untuk makan-makan, tetapi maksud sebenar ialah supaya mereka menyaksikan kehebatan rupa paras Yusuf ‘alayhi al-salam.

Aishah risaukan suara Abu Bakar tidak kedengaran apabila mengimamkan solat, tetapi maksud sebenarnya beliau tidak mahu orang mengeji ayahnya dek sifat mudah menangis pada Abu Bakr itu.

Mudah menangis bukan tanda lemah.

Itu pelajaran besar untuk semua.

Abu Bakr mudah menangis hingga keupayaannya menjadi pemimpin diragui. Tetapi Abu Bakr itulah yang paling tegas hingga memerintahkan perang ke atas golongan yang enggan mengeluarkan zakat. ‘Umar radiallahu ‘anhu yang terkenal garang dan tegas di dalam sejarah, beliau pula yang berasa Abu Bakr terlalu keras terhadap golongan tersebut.

Mereka muslim, bersyahadah, bersolat, takkanlah hendak diperang semata-mata enggan buat satu perintah sahaja?

Abu Bakr yang mudah menangis itu apabila perlu mendukung prinsip akan menjadi yang paling kuat. Katanya, kalaulah zakat itu nilainya hanya sekadar igal (pengikat serban di kepala), akan dia pastikan ia dilunaskan mengikut hukum!

Abu Hurairah radiallahu ‘anhu mengulas ketegasan Abu Bakr ini dengan katanya, “kalaulah Abu Bakr tidak dilantik menjadi khalifah, nescaya tiadalah lagi sesiapa yang menyembah Allah!

KESIMPULAN

Saya tidak bermaksud sama sekali bahawa Abu Bakr radiallahu ‘anhu mengalami emotional dysregulation. Kita tidak melakukan diagnosis sesama kita kerana itu adalah tugas dan kepakaran psikiatris dan doktor yang terlatih sahaja.

Apatah lagi untuk seseorang yang kita hanya kenal dari masa silam berdasarkan maklumat yang terbatas.

Saya cuma ingin berkongsi kekuatan kepada sesiapa sahaja yang mengalami emotional dysregulation ini, sama ada ia sebahagian daripada impairment ADHD, atau pun tidak, bahawa emosi yang begitu sensitif bukan kelemahan.

Allah yang mencipta emosi itu. Dia berikan ia dengan tujuan yang mulia. Emosi itulah yang menjadikan manusia, manusia. Ia boleh menjadi KEKUATAN.

Asalkan kita boleh meregulasinya dengan baik. Bagi majoriti manusia, otak mereka sudah tersedia sempurna untuk melakukannya walaupun masih tetap memerlukan latihan dan strategi.

Manakala kita yang ADHD ini, ada kekurangan biologi yang menjadikan kita berhajat kepada bantuan.

Dapatkan bantuan itu.

Rizal
18 Mac 2022


Posted

in

by

Tags:

Comments

One response to “Gangguan Regulasi Emosi (Emotional Dysregulation)”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *