Bolehkah Sembuh Kalau Ada ADHD?

Mendoakan agar individu yang telah pun menerima diagnosis ADHD supaya sembuh dengan memakan ‘ubat’, mungkin tidak begitu tepat dan mengguris hati sesetengah mereka.

Sebabnya, individu ADHD tidak akan sembuh daripada ADHD berkenaan. Tiada kesembuhan, kerana ia bukan penyakit dan situasinya bukan sementara.

Stimulan yang diambil bukan ubat, stimulan yang diambil adalah bantuan untuk membolehkan fungsi-fungsi eksekutif yang terganggu kerana ADHD itu diatasi selama mana stimulan tersebut masih berada di dalam sistem tubuh badan individu berkenaan.

Jika stimulan yang diambil adalah versi rembesan perlahan seperti Concerta ataupun Tyvense, dengan nama yang berbeza-beza di antara satu negara dengan satu negara lain, maka kesan baik daripada pengambilan stimulan itu akan aktif di dalam tubuh badan lebih kurang dalam sepuluh ke dua belas jam. Selepas daripada itu individu berkenaan akan kembali kepada keadaan asalnya.

Analogi mudah untuk kita faham ialah seperti orang rabun yang memakai cermin mata. Bila pakai cermin mata, pandangan yang kabur itu dapat dijelaskan. Apabila cermin mata itu ditanggal, maka dia kembali ke sifat rabun yang asal. Begitulah juga dengan individu ADHD.

Cuma perubahan baik ialah stimulan yang memperbaiki fungsi eksekutif membolehkan banyak pekerjaan yang dahulunya sukar untuk dibuat kini mungkin dapat dibuat dengan lebih baik. Seterusnya, menghasilkan hasil yang lebih mendatangkan rasa kepuasan dan gembira. Boleh mengurangkan kebarangkalian kegagalan melunaskan aktiviti, projek, kerja, pembelajaran, dan pengajian. Ia boleh menyumbang kepada kualiti kehidupan yang lebih baik.

Maka kalau daripada dimensi itu mungkin doa sembuh ini tadi ada munasabahnya. Namun, mendoakan kesembuhan kerana makan ubat, hakikatnya individu ADHD tidak akan sembuh kerana ia bukan penyakit, dan stimulan bukan ubat.

Ia adalah kelainan otak di antara mereka ini dengan individu-individu yang bukan ADHD. Ia telah ada semenjak lahir dan ia kekal sepanjang hayat.

Apa yang barangkali berubah adalah strategi mengatasi gangguan-gangguan tersebut dan bagaimanakah cabaran-cabaran dan kelebihan yang ada di sebaliknya dapat dimanfaatkan untuk kualiti kehidupan yang lebih baik.

Rizal.IE
Ireland


Posted

in

,

by

Tags:

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *