Bahasa Kesat Bukan ADHD

Impulsif itu simptom ADHD.

Tetapi mencarut dan berbahasa kesat bukan ADHD.

Jangan normalisasikan ia terutamanya di kalangan kita orang dewasa.

Jika terlepas dan terlajak kata, usahalah meminta maaf, bukan memberi alasan ADHD untuk menafikan kesakitan yang orang alami akibat perkataan kita.

Apatah lagi dengan ibu bapa.

ADHD membabitkan kesukaran mengawal dan gangguan regulasi emosi. Tetapi seorang ADHD masih memiliki rasa sedar dan tanggungjawab. Menyedari bahawa perkataan dan kelakuan diri itu kasar dan menyakitkan pun, sudah menunjukkan bahawa ia berlaku masih dalam tanggungjawab diri.

Bagi Muslim, seorang ADHD semasa marah dan mengalami ledakan emosi, beliau masih mukallaf. Tidak dikecualikan daripada hitungan dosa dan pahala. Kecuali kita mahu ADHD dipandang sebagai ‘gila’ lagi tidak berakal.

Bagi ibu bapa yang dikasari anak-anak ADHD, elakkan bermudah-mudah menawarkan nasihat dalam isu ini. Nasihat simplistik boleh meremehkan kompleksiti cabaran ini dan akan hanya memurungkan ibu bapa apabila impression yang diberi seolah-olah ini salah ibu bapa.

Bersalah, sama ada kerana kelakuan buruk anak itu adalah kerana pengaruh ibu bapa, atau bersalah kerana ibu bapa salah cara lagi tidak cukup berusaha.

Kuatkan semangat, kuatkan regulasi emosi kendiri (emotional self-regulation) semasa mendepani saat ia berlaku.

Jika ada profesional yang boleh membantu, usahakanlah mendapatkannya.

Bagi kita yang dewasa ini, setiap air mata emak ayah yang tumpah kerana kekasaran kita, Tuhan tidak akan memadamnya kecuali kita terlebih dahulu memadamnya sendiri dengan memohon maaf.

Mohonlah maaf kepada ayah dan ibu, bukan kepada batu nesan yang ada nama mereka.


Posted

in

by

Tags:

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *