ADHD dan Kesihatan Mental di Belakang Salah Laku Jenayah

Saya juga sama seperti kebanyakan anda, mengenal Yasin Sulaiman sebagai artis nasyid tanahair. Lama, semenjak di bangku sekolah lagi.

Cuma saya berpeluang sekali bersemuka dengan beliau pada tahun 1992 di SMKA Kedah.

Yasin mewakili negeri Selangor di dalam acara Hafazan al-Quran dan saya pula mewakili negeri Perak di dalam Syarahan Agama.

Itu kisah lama.

Apabila berita penahanan beliau keluar di media, dan kesnya pula adalah berkaitan penanaman tumbuhan terlarang itu, perkara pertama yang terlintas di fikiran saya adalah kesihatan mental Yasin, masalah bipolar disorder yang telah beliau hidapi sejak sekian lama.

Bukanlah saya mahu menjadikan bipolar disorder itu sebagai alasan untuk menjustifikasi salah laku dan jenayah.

Apa-apa yang salah dari segi undang-undang, maka undang-undang perlulah memainkan peranannnya.

Saya doakan kebaikan untuk Yasin dan semua dalam hal ini.

Tetapi apa yang ingin saya ajak kita berfikir adalah mengenai faktor kesihatan mental di belakang salah laku, kenakalan, masalah malah jenayah seseorang.

Di dalam masyarakat yang kuat berpegang dengan adat dan agama, perbuatan yang tidak elok mudah ditinjau hanya daripada perspektif moral.

Namun, kita tahu, mekanisme perbuatan manusia itu kompleks.

Perbuatan Nabi Yaaqub alayhi al-salam yang bersedih dengan gelagat anak-anaknya hingga ‘mengorbankan’ Yusuf alayhi al-salam, berlarutan hingga mata baginda menjadi putih dan hilang penglihatan.

Umumnya, kita mungkin menganggap ia perbuatan yang melampau dan salah di sisi agama. Tetapi Nabi Yaaqub adalah seorang Rasul yang maksum. Allah melindungi para Rasul daripada dosa.

Saya tidak sama sekali cuba mengusulkan apa-apa diagnosis dalam hal ini.

Cuma ingin membuka ruang kita merenung bahawa apabila manusia melakukan sesuatu, ada latar belakang yang kompleks sebelum ia menjadi betul atau salah, dosa atau pahala.

Manusia boleh memilih perbuatan, mengawal, merancang, mengelak, kerana otaknya lebih canggih berbanding spesis lain.

Bahagian hadapan otak manusia melakukan pelbagai fungsi eksekutif berkaitan hal berkenaan.

Jika di bahagian berkenaan mengalami gangguan, ia mendatangkan masalah kepada individu yang mengalaminya mengatur kehidupan.

Profesor Russell Barkley di dalam bukunya ADHD in Adults : What the Science Says menjelaskan bagaimana ADHD yang tidak dirawat secara statistiknya mengurangkan jangka hajat seseorang hingga 13 tahun! Lebih daripada diabetis, merokok, alkohol, dan obesiti . Apatah lagi jika diabetis, merokok, alkohol, obesiti dan kemalangan jalan raya yang meragut nyawa adalah kerana ADHD yang tidak dirawat.

Katanya lagi:

In the first study, a random sampling of 102 inmates in the Utah State Prison was employed (Eyestone & Howell, 1994). Results indicated that 25.5% of those inmates evaluated qualified for a diagnosis of adult ADHD. Juga: Torgersen et al. (2006) also found elevated rates of violent crime (24%), theft (27%), and drug-related crime (18%) in their Norwegian sample of adults with ADHD.

Barkley, Russell A.; Murphy, Kevin R.; Fischer, Mariellen. ADHD in Adults . Guilford Publications. Kindle Edition.

Teringat saya kepada sabda Nabi Muhammad ﷺ :

عَنْ أَنَسٍ ـ رضى الله عنه ـ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم ‏”‏ انْصُرْ أَخَاكَ ظَالِمًا أَوْ مَظْلُومًا ‏”‏‏.‏ قَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ هَذَا نَنْصُرُهُ مَظْلُومًا، فَكَيْفَ نَنْصُرُهُ ظَالِمًا قَالَ ‏”‏ تَأْخُذُ فَوْقَ يَدَيْهِ ‏”‏‏.‏

Daripada Anas: Rasulullah ﷺ telah bersabda, “Bantulah saudaramu; sama ada ketika beliau itu zalim, atau dizalimi” Sahabat bertanya, “Tidak mengapa kami membantunya sekiranya dia dizalimi. Tetapi bagaimana kami membantunya jika dia yang si zalim itu? Baginda ﷺ menjawab, “dengan menghalang beliau daripada melakukan kezaliman itu”

Sahih al-Bukhari 2444 https://sunnah.com/bukhari:2444

Bagaimana jika kezaliman itu terbit daripada cabaran gangguan mental yang sebenarnya ada rawatan untuknya?

Tidakkah kita mensesiakan ilmu, penyelidikan, serta kemudahan sedia ada, yang amat berkesan untuk itu?

ADHD adalah top 3 gangguan di dalam psikiatri yang paling banyak penyelidikan mengenainya. Stimulant untuk ADHD pula adalah antara rawatan paling selamat dan berkesan di dalam psikiatri.

Malang sekali jika kita lebih selesa untuk terus melabel, menghukum, menghina, berbanding mencari jalan bagaimana seseorang itu boleh dibantu, sama ada semasa dizalimi, atau semasa menzalimi.

Jagalah lisan dan tulisan kita daripada dosa-dosa yang keji ini.

Apatah lagi di bulan Ramadan.

Kita doakan yang baik-baik untuk Yasin sekeluarga, serta seluruh masyarakat yang sedang sakit ketika ini.

Salam ukhuwwah.

Rizal
8 April 2022


Posted

in

by

Tags:

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *