Mengantuk Semasa Memandu: Daripada OSA ke ADHD Dewasa

Masalah mengantuk semasa memandu sudah lama saya alami.

Dahulukala, ia menjadi permulaan saya melakukan kesilapan dalam hidup. Saya cuba mengatasi rasa mengantuk itu dengan minum kopi, minum air bergas, dan kemudian energy drink. Akibatnya, saya menjadi pesakit diabetes.

Saya juga pernah tertidur semasa memandu. Kereta yang dipandu telah merempuh belakang lori. Kereta remuk tetapi syukurlah tiada kecederaan atau kehilangan nyawa.

Susulan itu, saya telah melakukan ‘sleep test’ di Hospital UKM. Hasil pemeriksaan, saya dikesan mengidap obstructive sleep apnea  (OSA) yang teruk.

Maaf di dalam video saya tersilap menyebut Apnea-Hypopnea Index mengikut minit, yang betulnya ialah mengikut jam.

Sebaik sahaja mula memakai cpap machine semasa tidur, masalah badan lesu sepanjang hari terus selesai. Banyak masalah kesihatan lain terubat apabila saya menerima rawatan untuk OSA berkenaan. Alhamdulillah. Saya terus memakai mesin cpap sehingga sekarang.

Tetapi saya masih mengantuk semasa memandu.

‘Pattern’ mengantuk saya ialah: Jika saya memandu di jalan baharu yang saya tidak biasa, saya boleh memandu dengan cergas. Memandu dari KL ke Kota Bharu melalui Gerik dan Jeli, saya tidak ada masalah. Tetapi semasa memandu di laluan rutin, saya mengantuk.

Bukan setakat di Malaysia, di Ireland ini pun sama.

Jika memandu antara Naas dengan Dublin, saya akan mengantuk apabila menggunakan laluan M7 dan N7 yang biasa. Jika saya ikut Blessington Road, walaupun jauh, saya segar.

Semua usaha tidak berkesan.

Selepas memulakan pengambilan Concerta XL untuk ADHD dewasa, saya dapat memperbaiki keupayaan saya buat kerja, membaca, menulis. Dan sedar-sedar, rasa mengantuk semasa memandu juga sudah hampir sepenuhnya tiada.

Saya tidak perlu memaksa diri mencari faktor-faktor sekeliling untuk kekal segar dan celik. Ada ‘sesuatu’ dari dalam yang menjadikan fokus pemanduan tenteram dan tidak merosot hanya kerana melalui jalan yang sama.

Mudah-mudahan perkongsian ini bermanfaat untuk membantu sahabat meneliti cabaran masing-masing dan mendapatkan bantuan yang perlu.

Perkongsian saya ini adalah perkongsian peribadi. Ia bukan diagnosis atau analisis profesional.

Saya cuba berhati-hati dengan correlation dan causation agar tidak secara salah cuba mengaitkan sesuatu dengan sesuatu.

Betulkan saya jika saya tersilap.

Rizal
15 Februari 2022


Posted

in

by

Tags:

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *