Moral, Sains & Agama: Kali Pertama Pulang ke Malaysia Bersama ADHD

Mengenang diskusi-diskusi mengenai ADHD semasa pulang ke Malaysia Disember 2022 yang lalu. Tanpa dirancang, salah satu topik yang banyak dibincangkan walaupun pulang dalam tempoh masa yang begitu singkat adalah ADHD.

ADHD perlu difahami sainsnya sebaik mungkin melangkaui istilah ADHD itu sendiri.

Usul Profesor Russell Barkley agar ADHD dinamakan sebagai EXECUTIVE FUNCTION DEFICIT DISORDER adalah lebih baik buat masa ini. Memahami ADHD sebagai masalah fungsi eksekutif, boleh menjelaskan dengan lebih baik betapa seriusnya ADHD, berbanding sekadar memahaminya sebagai kekurangan daya tumpuan dan soal terlebih tenaga bagi yang hiperaktif.

ADHD serius kerana ia adalah akar yang di duduk di belakang pelbagai masalah seseorang yang menerima diagnosis berkenaan.

Tanpa ADHD, masalah-masalah individu berkenaan boleh kelihatan tidak berkait dan rawak; Ketagihan kopi, minuman manis, dadah, malah game serta pornografi… boleh difahami akarnya berada di dalam defisit dopamine yang dialami oleh seorang ADHD.

Ekoran itu penyakit-penyakit metabolik seperti diabetes, kolestrol tinggi, kegemukan, menghantui individu ADHD.

Akibatnya, kelemahan, sakit dan kepincangan kualiti hidup disandarkan secara tidak wajar kepada defisit moral.

Malas.

Tidak cukup berusaha.

Macam-macam lagi.

Apatah lagi, kegagalan dalam pelajaran dan kerjaya turut hadir melengkapkan ujian demi ujian kehidupan.

Justeru betapa bertuahnya seseorang yang mempunyai ADHD, mendapat diagnosis di awal usia. Tidak perlulah mengalami apa yang golongan ADHD dewasa tempoh dalam kehidupan mereka.

Seperti saya.

Perjalanan untuk memadam rasa kecewa dan gagal kerana berasa tidak pernah cukup baik untuk rumahtangga, untuk keluarga, untuk masyarakat, dan sebenarnya untuk diri sendiri, terasa amat jauh.

Macam-macam yang saya bualkan bersama beberapa individu yang ditemui ketika berada di Malaysia.

Ada yang diatur awal sebelum saya tiba di tanahair lagi, ada yang terjadi secara kebetulan. Saya doakan individu-individu yang saya temui itu segala kekuatan dan kebaikan untuk perjalanan hidup seterusnya.

Kemuncaknya, dalam konteks ADHD, saya paling ingin bersua muka dengan Hadhri dan Zulhafiy, aktivis Cogniversity MY (ADHD Malaysia).

Selama ini hanya berurusan di dalam talian. Tetapi Allah izinkan dua orang sahabat ini hadir ke Seminar Sinergi Pintar di Cyberjaya pada hari terakhir saya di Malaysia.

Semasa tengah semangat hendak berjabat tangan itu, kami bertiga mencipta sejarah yang menjadikan detik berkenaan tidak mungkin boleh lebih ADHD daripada apa yang telah terjadi. Segelas besar air minuman di tangan Zulhafiy telah tertepis (rasanya saya yang tepis) hingga tumpah ke lantai dewan dengan penuh gahnya!

Nasib baik saya penceramah, agaknya tak ada orang nak marah, haha.

Kami mengambil masa seketika untuk meregulasi emosi yang mungkin terkejut, marah, dan kecewa, sebelum akhirnya ketawa.

Tidak cukup dengan itu, selepas semua orang pulang dan tinggal saya bersama Ustaz Qayyum sebagai orang terakhir meninggalkan dewan, terjumpa pula beberapa buah buku yang nampaknya baru dibeli seseorang.

Tertinggal di dewan.

Siapa sangka, ia milik tokoh ADHD seorang lagi. Buku itu milik Hadhri!

Terlupa dan tertinggal.

Selamat datang ke dunia ADHD.

Laugher has to be our best medicine.

Survival!

Rizal
Naas, Ireland


Posted

in

,

by

Tags:

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *