Telephonophobia dan Cabaran ADHD Dewasa

“Angkatlah telefon tu! Ada telefon tak angkat buat apa ada telefon!”

Kegeraman kawan-kawan dengan perangai saya tidak menjawab panggilan telefon sudah pun saya catat semenjak tahun 2007.

Semasa itu saya menulis sebuah artikel di saifulislam.com dengan tajuk Telephonophobia. Jemput baca di sini https://saifulislam.com/2007/04/telephonophobia-kenapalah-tak-angkat-telefon-artikel-2007/

Saya ketika itu tidaklah begitu cermat menulis mengenai telephonophobia sama ada ia benar-benar phobia, atau sekadar “telephone apprehension”.

Tambahan pula, diagnosis ADHD membabitkan social anxiety tiada langsung berada dalam fikiran ketika itu.

Apa yang pasti, telefon sentiasa berada di sisi saya semenjak 1996, namun menjawab panggilan telefon atau membuat panggilan telefon bukanlah sebahagian daripada pengalaman itu.

Setiap kali telefon berdering, saya akan berdebar-debar, mood baik jadi terganggu, apatah lagi nombor yang terpapar tidak saya kenali.

Saya tidak akan sekali-kali menawarkan pilihan menelefon atau menjawab panggilan telefon, selagi boleh. Ia adalah kebimbangan tidak rasional, yang sukar saya jelaskan.

Melihat kembali artikel 2007 berkenaan, saya berikan alasan yang telinga saya tidak cukup baik untuk berbual di telefon.

Saya akan mengangguk dan mengiyakan apa yang pihak di sebelah sana sebut, walaupun banyak daripada butir percakapan tidak dapat saya tangkap dan fahami.

Tak patutlah, kan?

Keduanya, saya tertekan dengan lambakan jemputan ceramah yang andai melalui panggilan telefon, saya perlu berkata ya atau tidak secara spontan. Sedangkan saya beristerikan seorang doktor di wad kecemasan.

Sejak dahulu lagi, saya sentiasa memeriksa terlebih dahulu jadual kerja isteri, terutamanya apabila ia membabitkan siapa yang akan jaga anak-anak kami yang masih kecil.

Tak seronoklah jika sudah setuju, kemudian perlu berhubung semula untuk membatalkannya.

Tambahan pula, komunikasi dengan pengurus program makin lama makin tidak masuk akal.

Saya pernah berhubung dengan ajk masjid untuk memaklumkan terpaksa membatalkan kuliah Maghrib kerana ibu mertua saya meninggal dunia tiba-tiba di hospital pada suatu pagi. AJK berkenaan terus meminta saya mencari penceramah pengganti, tanpa ucapan takziah atau sebarang perkataan menunjukkan empati.

Itu satu daripada 1001 kisah yang pernah saya alami.

Selepas menerima diagnosis ADHD dewasa, dan memahami tentang kondisi fikiran dan emosi saya yang ‘intense’, barulah saya mendapat serba sedikit jawapan.

Telephonophobia atau telephone anxiety ini ada di dalam DSM-V di bawah social anxiety.

Untuk kondosi berkaitan telephonophobia ini menerima diagnosis, keadaan tersebut mestilah berlaku lebih dari tempoh 6 bulan, dan menampakkan 3 ke 5 daripada simptom yang disenaraikan:

* Extreme anxiety when exposed to telephones

* Extreme anxiety when thinking about telephones

* Anticipatory anxiety

* Inability to control anxiety

* Repeated acts to avoid telephones

* Full-blown panic attacks

* Muscle tension

* Increased heartbeat

* Hyperventilation

* Feelings of dizziness

* Hot/cold flashes when in a flight or fight mode (A hot flash refers to the temporary heating up of the body when in a state of fear. And a cold flash means when the body suddenly starts to shiver or cool down, when encountered by a fear stimulus).

* Screaming/crying

* Vomiting

* Migraine

* Butterflies in the stomach

Tiadalah apa-apa isu besar yang ingin saya ketengahkan.

Saya cuma ingin memberitahu, jika ada di kalangan anda yang mengalaminya, anda tidak berseorangan.

Andai anda ada sahabat yang susah hendak menjawab panggilan telefon, janganlah berkecil hati dengannya. Dia mungkin sahabat anda paling baik hati.

Cuma dia akan lebih mudah berkomunikasi, andai anda sudi menukar panggilan telefon kepada mesej bertulis, atau bersemuka.

Rizal
19 Ogos 2022


Posted

in

by

Tags:

Comments

One response to “Telephonophobia dan Cabaran ADHD Dewasa”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *