Malaskah Murid ADHD Itu?

Dalam sesi bersama Prof  Dr Harlina Halizah Siraj pagi tadi, timbul pertanyaan mengenai ‘malas’ dan hubungkaitnya antara moral (perangai malas) dan biologi manusia (impairment ADHD misalnya).

Saya ambil peluang berkongsi, bagaimana sepanjang perjalanan pengajian saya pasca persekolahan, saya rasa saya tidak malas. Saya membaca ketika orang lain tidur, mengkaji ketika tiada orang rasa kajian saya relevan atau menarik, walaupun sudahnya lima percubaan mendapatkan ijazah sarjana berakhir dengan kegagalan. 

Saya mula percaya saya malas apabila pensyarah di Jordan menjerkah saya di pejabatnya bahawa saya muhmil (tidak ambil berat dan cuai bab pelajaran), juga apabila kegagalan akademik dan kerjaya menyelubungi hampir keseluruhan hidup saya sebagai seorang dewasa. 

Imposter syndrome menjalar di dalam jiwa hingga apa jua kejayaan seperti menulis 25 buku dan dipandang sebagai ‘tokoh’ di luar rumah, saya tetap tidak dapat mengikis kepercayaan diri bahawa saya seorang yang malas dan gagal, di rumah dan kehidupan sendiri.

Memang malas boleh menjadi sifat mazmumah. Sebab itu Rasulullah ﷺ pun sering berdoa meminta perlindungan Allah daripada sifat malas. Sifat ini adalah sifat mazmumah apabila ia menjadi sifat yang dimiliki seseorang tanpa dirinya rasa bersalah, atau malu. Individu ADHD juga boleh bersifat pemalas jika ‘malas’ itu dipilihnya tanpa rasa bersalah dan malu. 

Saya tidak memilih malas. Amat jarang menghabiskan masa tidur atau tidak buat apa-apa. Tetapi demikianlah kisahnya. Kegagalan banyak memusnahkan jiwa saya.

Jika pendidik ingin berempati membantu murid, baik kanak-kanak atau murid tua, selidiklah beberapa perkara: luar dan dalam diri murid berkenaan:

REKABENTUK KURIKULUM 

Elemen motivasi intrinsik dalam rekabentuk kurikulum penting untuk keterlibatan murid dalam pembelajarannya. Kecacatan rekabentuk kurikulum dan falsafah pendidikan yang tidak peduli kepada personal goal murid, sukar melahirkan motivasi intrinsik murid. Murid ‘terpaksa’ datang ke sekolah hanya untuk belajar apa yang disediakan untuknya. Sebaliknya apa yang dia alami, fikir, relevan atau tidak relevannya apa yang dipelajari itu dengan masa hadapannya, tidak diberi perhatian secukupnya, bukan kerana cikgu tidak mahu, tetapi kurikulum kata ia tidak perlu.

FUNGSI EKSEKUTIF 

Kemudian, telitilah sekiranya satu tugasan itu berbentuk future oriented, seperti projek dan penulis tesis.

Tugasan sebegini memerlukan kekuatan kemahiran regulasi kendiri.

Mungkin ada murid yang berusaha keras, tetapi tetap kecundang akibat defisit fungsi eksekutif berkaitan perancangan, memori kerja, serta defisit fungsi inhibitian. 

Seperti yang saya alami, pasca alam persekolahan. Zaman sekolah, rutin asrama dan kehidupan yang highly structured bertindak sebagai topeng kepada ADHD. Sebab itu boleh cemerlang di sekolah. 

Namun di universiti, lain kisahnya.

Untuk menyelesaikan pekerjaan yang highly structured, memakan masa yang panjang dan barangkali membosankan, seseorang itu perlu:

1. Mempunya fungsi eksekutif yang mampu mengekalkan maklumat verbal dan non verbal di dalam memori kerja (working memory) di bahagian frontal lob. Defisit dalam hal ini menyebabkan time blindness menimpa individu ADHD (zone out). Tidak sedar masa sudah berlalu.

2. Mempunyai fungsi eksekutif yang mampu menyingkirkan apa yang deria pada kulit, telinga, mata dll tangkap, daripada diproses oleh otak, agar tidak distracted dan boleh fokus. Ini adalah inhibition yang juga dilakukan oleh otak kita di bahagian frontal lobe. Umpama instruktor orkestra, memberi arahan pemuzik mana kena diam, dan kena bermain alat. Jika instruktor tidak berfungsi, semua pemain muzik bermain alatan masing-masing hingga yang kedengaran adalah kehuru haraan.

3. Mempunyai dopamine yang cukup bagi mengekalkan kerja, dan motivasi diri (elemen emosi). Sama ada kerana emosi digerakkan oleh maklumat yang mengatakan bahawa kerja itu penting, atau yang mengatakan bahawa kerja itu menarik. Defisit dopamine ini menjadi masalah besar individu ADHD apabila kerja mula jadi tidak menarik, walaupun semakin penting dan runcing.Last minute baharu panik, dan dopamine terhasil, bersama adrenaline. Nasib baik, selesai. Nasib tidak baik, serangan panik terjadi, bingung, dan mungkin ‘shut down’. 

Stimulant yang diambil oleh individu ADHD menolong aspek ini semasa ia berada di dalam sistem diri beberapa jam (Concerta XL saya berfungsi selama 10 ke 12 jam selepas pengambilan).

Tanpa sekurang-kurangnya 3 perkara di atas, individu ADHD kebingungan, panik, resah dan mengheret dirinya kepada kegagalan menyelesaikan tugasan. 

Jika beliau hanya diperingatkan tentang kepentingan menyelesaikan tugas, dan jika tidak buat maknanya tidak bertanggungjawab atau malas, ia menjadi ‘leteran’ yang berkemungkinan menyumbang kepada kebinasaan self efficacy murid tersebut, mengheretnya kepada imposter syndrome yang dinyatakan di awal tadi.

Inilah perkara yang ramai guru serta pensyarah universiti tidak tahu atau tidak faham semasa melakukan supervision mereka ke atas pengajian pelajar. 

Hanya ‘malas’ yang malangnya terkeluar sebagai label, yang menganiaya. The fatal shame spiral.

Rakaman sesi ini boleh ditonton seperti berikut:

Semoga bermanfaat.

Rizal
Naas, Ireland


Posted

in

by

Tags:

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *