Di dalam garis panduan permohonan pinjaman pelajaran world top universities (WTU) MARA (lihat di https://www.mara.gov.my/wp-content/uploads/2021/06/Garis-Panduan-WTU-2021_BM-FINAL.pdf), ada menyebut:
“Pemohon wajib disahkan mempunyai kesihatan yang baik oleh pengamal perubatan berdaftar serta bebas dari mengandung, penyakit mental, cacat fizikal, penyakit berjangkit (HIV-AIDS, Hepatitis B & C dan lain-lain), epilepsy, penyakit genetik dan penyalahgunaan dadah serta tiada rekod masalah mental.”
Saya berbual dengan YB Dr Maszlee Malik mengenai hal ini semasa beliau berkunjung ke Dublin, baru-baru ini.
Kebimbangan saya ialah pelajar cemerlang SPM menyembunyikan diagnosis atau mengelak daripada mendapatkan diagnosis isu-isu kesihatan mental seperti ADHD, Autisme dan lain-lain, kerana khuatir hilang kelayakan untuk memohon biasiswa bagi membiayai pengajian.
Walaupun keputusan peperiksaan cemerlang dan layak.
Kemudian, di tengah-tengah pengajian, pelajar mula mengalami kesusahan yang tidak dialami semasa di sekolah dahulu.
Malang sekali jika ia membawa kepada kemurungan, tekanan jiwa, kemudian berakhir dengan kegagalan menamatkan pengajian, meletakkan pelajar berkenaan di dalam risiko hutang mencecah jutaan ringgit, kes mahkamah, krisis moral, dan sebagainya.
Sedangkan semua itu boleh dielakkan jika penggubal polisi memahami ADHD bukan penyakit.
Ia adalah kelainan cara otak seseorang berfungsi.
Pemahaman terkini, penyelidikan, teknologi, membolehkan pelbagai strategi digunapakai untuk membantu.
Semasa sekolah, pelajar hidup dengan rutin spesifik terutamanya jika belajar di sekolah berasrama. Ia ‘menyembunyikan’ masalah individu ADHD hadapi.
Apabila ke universiti, rutin itu sudah tiada.
Pelajar perlukan kemahiran regulasi kendiri yang tinggi. Ini amat mencabar untuk pelajar neurotipikal, apatah lagi untuk yang mengalami ADHD.
Di negara seperti Ireland, 5% pelajar universiti mempunyai ADHD. Mereka berada di semua fakulti. Boleh menjadi doktor, peguam, jurutera, pakar IT, apa sahaja.
Dengan diagnosis ADHD, universiti menyediakan bantuan study buddy, pensyarah mengubah suai pendekatan mengajar, pelajar mempunyai tetapan peperiksaan yang bersesuaian, malah sokongan berkaitan penempatan pelajar.
Tidak harus sama sekali pelajar ADHD dinafikan peluang mereka untuk berjaya, atau terpaksa menderita akibat polisi yang mendiskriminasi mereka, sedangkan hal ini boleh dicegah.
Saya tidak pasti apa yang YB Dr Maszlee Malik dapat lakukan, namun itulah yang sempat saya sampaikan dalam pertemuan singkat kami.
Jika ada pelajar Malaysia di Ireland, atau di UK, yang merasakan topik ini ada kena mengena dengan cabaran yang anda hadapi, dapatkan sokongan melalui pihak di universiti anda.
Andai ada sesuatu yang boleh saya bantu, jangan segan untuk berhubung.
Saya menempuh pengalaman yang perit serta kegagalan demi kegagalan sebagai pelajar kerana tidak kenal ADHD dan hanya menerima diagnosis selepas 15 tahun menempuh kegagalan dalam usaha, dan umur pun sudah lewat 40-an.
Saya tidak mahu anak-anak saya menempuh pengalaman itu, dan tidak mahu kalian menempuhnya.
ADHD bukan bodoh.
Bukan tidak berdisiplin.
Bukan seperti yang pensyarah jerkah di muka saya semasa saya menggeletar mengadap pensyarah suatu ketika dahulu.
Saya sudah menulis 25 buah buku, dan saya yakin pembaca yang membacanya boleh percaya bahawa penulis buku itu tidak bodoh.
Ia hanya kelainan, yang boleh diatasi dengan ilmu, dan intervensi yang sesuai.
Saya adalah pakcik tua berpangkat ayah yang ada di Naas di Ireland ini.
Jika saya tidak dapat menyelamat atau membetulkan perjalanan sendiri, saya harap ada satu dua perkara kecil yang dapat saya gunakan untuk membantu anda.
Rizal
9 Ogos 2022
Leave a Reply