Susahnya Seorang ADHD Dewasa Menguruskan Ibadat

Kita mungkin malu untuk memperkatakan akan hal ini kerana kita mahu menjadi Muslim yang baik.

Tetapi sebagai ADHD dewasa, banyak aspek ibadah kita yang rumit untuk diurus.

Hakikatnya, ia bukan sahaja sukar untuk golongan neurodivergent seperti kita, malah juga untuk masyarakat ramai yang neurotipikal.

Nabi Muhammad ﷺ sendiri selalu berdoa kepada Allah:

اللّهُـمَّ أَعِـنِّي عَلـى ذِكْـرِكَ وَشُكْـرِك ، وَحُسْـنِ عِبـادَتِـك

Allāhumma ‘a`innī `alā dhikrika, wa shukrika, wa ḥusni `ibādatik.

“Ya Allah, bantulah aku untuk mengingati-Mu, mensyukuri-Mu dan memperelokkan ibadahku kepada-Mu”

Rujukan: Abu Dawud 2/86, An-Nasa’i 3/53. See also Al-Albani Sahih Abu Dawud 1 /284. Hisn al-Muslim 59

Tidak mudah untuk mengekalkan diri dalam keadaan ingat kepada Allah.

Kita mudah lalai, lupa, dan lupa itu lupa kuasa dua bagi golongan ADHD seperti saya.

Tidak mudah untuk bersyukur kepada Allah. Kita cenderung memberi fokus kepada benda-benda yang kita tidak ada, hingga tidak bersyukur dengan benda yang kita ada, yang sebenarnya sangat banyak.

Apatah lagi fikiran negatif yang melampau adalah sebahagian daripada cabaran sebahagian golongan ADHD hadapi.

Tidak mudah juga untuk kita memperelokkan ibadah kepada Allah. Kita lupa, kita lambat, kita terlupa rakaat, macam-macam.

Susahnya ketiga-tiga perkara ini, hingga Nabi ﷺ pun minta tolong dengan Allah.

Kita juga patut minta tolong dengan Allah.

ATUR STRATEGI

Aturkanlah strategi-strategi yang sesuai agar kita boleh bersolat, berpuasa, dan melakukan ibadah-ibadah yang lain dengan baik.

Saya bersyukur kepada Allah kerana agama saya iaitu agama Islam, adalah agama yang diberikan oleh Pencipta saya, dan saya dapati ia selari lagi meraikan diri saya sebagai manusia ciptaan-Nya.

Termasuk juga dalam hal ADHD.

Dalam solat, saya jumpa elemen-elemen yang berkaitan dengan fungsi eksekutif kita:

Self awareness: solat kena spesifikkan niat. Kita kena tahu semasa solat kita solat apa. Zohor ke, Asar ke, sebagai imam ke, sebagai makmum ke, maka permulaan solat adalah lawatan kepada proses self awareness di dalam fungsi eksekutif kita.

Inhibition: semasa solat saya kena kawal diri daripada melakukan perkara-perkara yang membatalkan solat. Saya tidak wajar dengan sengaja membetulkan butang baju, menyelak langsir, menoleh ke kiri kanan apabila terdengar sesuatu, malah berusaha dari semasa ke semasa untuk kembalikan fikiran kepada bacaan solat berbanding membiarkan diri day dreaming entah ke mana.

Non verbal working memory: Semasa solat juga, saya membayangkan maksud bacaan solat saya agar menghayatinya. Apabila dibaca ayat-ayat tentang Syurga, hati saya berbunga menginginkannya. Apabila Allah sebut ayat tentang kejahatan Firaun, Abu Lahab, Abu Jahal dan kengerian Neraka, hati jadi resah dan bimbang takut terjebak. Apabila baca Allahu Akbar, saya membayangkan saya dan berapa banyak sekali pun followers, saya manusia kerdil. Bukan sahaja saya kerdil, malah kerajaan kerdil, ketua kerdil, Rusia kerdil, Amerika kerdil, tiada yang Agung, seagung Allah yang saya lafazkan mengenainya di dalam Takbir Allahu Akbar.

Verbal working memory: Bacaan di dalam solat, zikir semasa berpindah dari satu rukun ke satu rukun, semua itu aktif bekerja semasa saya sembahyang.

Emotional self-regulation: Ketika dilanda masalah dan kesedihan, saya cuba sembahyang. Dengan sembahyang, saya cuba bendung emosi-emsoi baik marah, atau sedih, agar tidak melampau hingga mempengaruhi perbuatan saya. Demikian juga semasa berpuasa, ketika netizen kata saya bodoh, saya tidak bertindak balas dan cukup sekadar self talk, sesungguhnya aku berpuasa, seperti saranan Nabi kita Nabi Muhammad ﷺ .

Self-motivation: semasa rasa malas hendak solat, saya cuba ingatkan diri agar berusaha mendirikannya. Apatah lagi semasa menjadi satu-satunya Muslim di tempat kerja, implikasi melengahkan solat tidak akan berlaku di depan mata. Maka soal dosa dan pahala yang bersifat future oriented, saya cuba usaha perbaiki dari semasa ke semasa.

Plan and problem solving: hidup sebagai Muslim di negeri asing seperti di Ireland ini, setiap kali hendak solat, memang kena rancang awal bagaimana hendak berwudhu’ sebelum pakai stokin, di mana hendak solat dan macam-macam lagi.

Semoga solat dan ibadah yang lain mengelokkan fungsi eksekutif saya yang lemah.

Dan semoga fungsi eksekutif yang saya pelajari melalui sains, membantu saya menjaga solat.

Moga Allah sayang kita semua kerana tidak pernah berputus asa daripada rahmat-Nya.

Rizal
25 Mei 2022


Posted

in

by

Tags:

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *