Menghargai Kejadian Otak dan Fungsi Akal

Semenjak sekian lama saya sentiasa teruja dengan kehebatan otak dan fungsi akal.

Oleh kerana saya bukan daripada bidang sains, bidang agamalah medan saya meneroka keterujaan ini.

Suka dengan pembelajaran yang membabitkan diskusi, debat, bertukar pendapat, kerana saya dapat rasa yang otak saya bekerja semasa belajar sebegini.

Pembelajaran secara hafalan dan pengulangan (rote learning) agak berat untuk saya, tanpa mengetahui ADHD merupakan latar belakangnya.

Selepas memulakan pembelajaran di bidang sains pembelajaran di Oulu Finland, saya berkenalan dengan psikologi kognitif yang diguna dalam pengajian kami. Di situlah saya berkenalan dengan isu-isu executive function, regulasi emosi dan macam-macam lagi, terutamanya semasa belajar subjek Self-Regulated Learning (SRL).

Ironinya, ketika itu jugalah saya ditimpa kondisi paling berat dalam pengalaman belajar dan diusul diagnosis ADHD dewasa.

Demi memahami masalah sendiri (sementera belum berpeluang melakukan assessment formal), saya membaca kajian-kajian khusus berkenaan masalah executive function dan regulasi emosi serta kaitannya dengan ADHD.

Ia membuka kefahaman saya pada menghargai betapa kompleks cara otak bekerja, dan menjadikan diri lebih cermat semasa melihat perangai-perangai seseorang yang kita tidak berkenan.

Ada keadaannya, ia bukan masalah ingkah laku semata.

Sebaliknya ia ada kaitan dengan kondisi fizikal otak seseorang itu, misalnya defisit dalam penghasilan serta penyebaran kimia-kimia yang otak hasilkan, seperti dopamine dan rakan-rakannya.

Saya terima diagnosis ADHD ini bahawa ia ujian daripada Allah yang sayalah penentu sama ada ia musibah atau manfaat.

Saya yakin ADHD itu walaupun menjadi penjelasan kepada banyak kerumitan hidup yang saya alami, ia jugalah yang berperanan mencorakkan saya menjadi siapa saya yang sahabat kenal dalam penulisan, percakapan dan pertemuan.

Alhamdulillah.

Rizal
19 Februari 2022


Posted

in

by

Tags:

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *