Menulis Mengenai ADHD Dewasa Secara Terbuka

Menulis secara terbuka mengenai ADHD dewasa adalah berisiko besar. Fikiran saya ada banyak lapis mengenainya. Bermula dengan rasa malu, khuatir diperlekeh, paling takut jika orang secara rambang menganggap semua yang saya pernah cakap atau tulis dianggap tidak benar kerana saya ‘tidak betul’.

Kemudian saya fikir, selama ini saya menulis dengan cermat benda lain pun, orang akan komen dengan bebas sesuka hati mereka dan kritikan bukan perkara baharu. Ia sesuatu yang saya tidak boleh kawal, dan ia tidak sepatutnya mengawal saya. Utamakan manfaat yang lebih besar.

Saya tidak mahu menjadi advocate kerana saya bukan pakar, tiada kelayakan dan masih belajar untuk memahami. Perkongsian saya mengenai ADHD dewasa hanya bermaksud berusaha meyakinkan sahabat yang sudah didiagnosis atau ingin mendapatkan diagnosis lebih yakin melakukannya. Perkongsian saya bermaksud mahu menggerakkan mereka yang berhajat untuk menuju khidmat pakar.

Sebab utama, walaupun saya sudah menghampiri usia 50-an, ADHD dalam kajian terkini berisiko mengurangkan jangka hayat seseorang sehingga 13 tahun. Ia lebih teruk berbanding ‘sekadar’ diabetes, atau kolestrol, malah sekadar merokok. Ia adalah ancaman kesihatan awam yang serius.

Saya ada ahli keluarga di tanahair yang amat memerlukan diagnosis tetapi khabar yang diterima tidak baik. Sangat sukar. Anak lebih cenderung dinasihati petugas kesihatan agar jangan nakal-nakal, dan untuk diagnosis ibu bapanya lagilah sukar. Kesedaran masih rendah. Kehampaan yang disuarakan sangat mendukacitakan hati kerana saya tahu apa rasanya hidup di alam ’limbo’ seperti itu sepanjang hayat.

Namun, situasi seperti itu bukan hanya di Malaysia.

Di Ireland ini juga, saya tidak boleh mendapatkan diagnosis ADHD dewasa melalui HSE. GP (Doktor keluarga) yang mengusulkan agar saya melakukannya melalui hospital swasta. Saya perlu sediakan kosnya menghampiri EUR1000 untuk assessment, perubatan dan susulan. GP berbincang dengan saya, kemudian membuat referral letter, dan diajukan ke St. Patrick’s University Hospital di Dublin. Saya mengambil masa kira-kira 2 bulan untuk mendapatkan temujanji.

Biar pun pembiayaan assessment itu tinggi, kos berkenaan mungkin lebih ‘cost effective’ untuk jangka panjang berbanding kos kereta kemalangan, kos ubat-ubatan penyakit kronik, kos gantian kehilangan barang, dan paling utama adalah well being, kesihatan mental.

Salah satu sebab keputusan anda mendapatkan diagnosis ADHD dewasa tidak disambut baik oleh pasangan mungkin kerana ia sukar diproses. Cacatkah pasanganku? Ia juga boleh menjejaskan kos insurans, dan pelbagai implikasi kewangan keluarga. Sedangkan sakitnya (ADHD) ‘tak kelihatan’. Beri masa untuk ia diproses. Jika tidak sekali pun, manfaatkan diagnosis berkenaan untuk diri anda sendiri melakukan apa yang perlu dilakukan kerana ia intipati kita bertabiat proaktif (akhlak.hasrizal.com).

Saya berharap agar perkongsian saya dapat membuka wacana yang lebih sihat untuk ADHD dewasa beroleh peluang rawatan dan sokongan. Semoga ia juga boleh menimbulkan empati setiap anggota masyarakat, khususnya guru dan pensyarah, majikan, rakan kerja, pasangan hidup dan keluarga. Masyarakat menuju kepada kekerasan interaksi sosial yang menambah rumit kepada kesihatan mental secara umumnya, bukan setakat ADHD, dan kita perlu mengusahakan sesuatu untuk membendung atau mengubahnya.

Usahakan diagnosis profesional jika mengesyaki anda mengidap dan memerlukannya. Jangan self-diagnosed, lebih-lebih lagi jangan diagnose orang lain. Persamaan beberapa simptom tidak bermaksud kita serupa. Hanya pakar (dan bukannya asalkan seseorang itu doktor, beliau pakar dalam bab ini).

Seperkara lagi, ADHD dewasa bukan ‘tribe’ atau ‘geng’. Struggle dan kepayahan yang dialami adalah individu. Namun menyokong sesama yang mengalami amat-amat membantu.

Sama macam apa jua keperluan dunia dan akhirat, approach kita ialah ILMU. Itu sunnahnya.

Saya secara peribadi, menjauhkan diri daripada meme dan video-video Tiktok yang mengkelakarkan ADHD, termasuk hasil kerja ADHDer sendiri. Ia berisiko meremehkan isu ADHD menjadikannya permainan media sosial atau sekadar hype dan fad. Sedangkan ADHD adalah kondisi kekal dalam diri kebanyakan individu, dan diagnosis selepas dewasa bukan bermaksud dia baru mengalaminya, tetapi ia tidak dikesan semasa kanak-kanak dahulu. Apatah lagi jika ADHD itu adalah di dalam bentuk inattentiveyang tidak menampakkan hiperaktiviti.

Dalam konteks masyarakat Malaysia, kita memerlukan keseriusan dalam membuat kenyataan bahawa ADHD adalah BENAR dan SERIUS.

Berjuang untuk rawatan dan sokongan. Berjuang membersihkan kondisi ini daripada stigma moral dalam budaya menghukum.

Hasrizal Abdul Jamil
Naas, Ireland


Posted

in

by

Tags:

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *