Bukan Rakan Kerja Yang Menyeronokkan

Saya bukanlah rakan kerja anda yang menyeronokkan. Terutamanya jika saya adalah bos anda.

Di dalam Inattentive type – enam (atau lima bagi mereka yang berusia melebihi 17 tahun) daripada simptom-simptom berikut kerap ditemui:

  1. Tidak memberi tumpuan kepada perincian atau melakukan kesilapan akibat kecuaian di dalam pembelajaran di sekolah atau kerja-kerja yang ditugaskan.
  2. Mempunyai masalah untuk fokus kepada tugasan atau aktiviti, terutamanya semasa ceramah atau syarahan, perbualan dan pembacaan yang panjang.
  3. Seperti tidak mendengar apabila seseorang berkomunikasi dengannya. (seolah-olah berada di tempat lain)
  4. Tidak mematuhi siri peraturan atau arahan yang disediakan, dan tidak menyiapkan tugasan sekolah, kerja di rumah atau pejabat (memulakan sesuatu pekerjaan kemudian segera kehilangan fokus).
  5. Berhadapan dengan masalah untuk mengatur tugas dan kerja (misalnya lemah menguruskan masa, serabut, kerja tunggang langgang, melanggar deadlines).
  6. Mengelak atau tidak suka kepada tugasan yang memerlukan usaha mental yang intensif dan memakan masa, seperti menyediakan laporan bertulis dan mengisi borang.
  7. Sering kehilangan barang keperluan semasa melakukan tugasan harian seperti dokumen sekolah, buku, kunci, dompet, telefo bimbit dan cermin mata.
  8. Mudah terganggu.
  9. Lupa kepada tugasan harian, seperti kerja-kerja mengemas rumah, ke kedai membeli baranga runcit. Jika anak remaja atau dewasa, mungkin lupa untuk membuat panggilan balas telefon, membayar bil dan memenuhi temujanji.

Siapa yang sanggup hidup dengan orang yang seperti ini?

APA_What_Is_ADHD

 

 

 

Rizal
Oulu, FI

Tiada Kumpulan Sokongan

Berita ini mengesahkan bahawa tiada kumpulan sokongan kepada ADHD di Oulu yang menjalankan aktiviti di dalam bahasa Inggeris. Kumpulan sokongan adalah motivasi luar yang sangat penting apabila adanya mereka yang memahami, mendengar dengan empati, tidak menghukum dan lazimnya bersungguh mahu membantu, walaupun sekadar kata-kata galakan yang ringkas tetapi bermakna.

Di dalam artikel “What to Look for in Quality Online Support Groups”, John M. Grohol berkongsi beberapa tip untuk menimbang tara kumpulan sokongan atas talian. Beliau menyebut:

“In good online support groups, member stick around long after they’ve received the support they were seeking. They stay because they want to give others what they themselves found in the group. Psychologists call this high group cohesion, and it is the pinnacle of group achievement.”

“Di dalam kumpulan-kumpulan sokongan atas talian yang bagus, anggota akan terus berada di dalamya lama selepas mereka memperolehi sokongan yang dicari. Mereka masih kekal berada di situ sebab mereka mahu memberi kepada orang lain apa yang mereka sendiri temui di dalam kumpulan berkenaan. Para ahli psikologi memanggilnya sebagai ‘high group cohesian’ (kesatuan kumpulan aras tinggi’, dan ia adalah kemuncak tertinggi pencapaian berkumpulan.”

Saya tidak berkapasiti untuk menggerakkan inisiatif mewujudkan kumpulan sokongan di Oulu. Saya akan cari kumpulan sokongan atas talian, Insya-Allah.

Rizal
Oulu, FI

Menarik Minat

Macam mana boleh ingat nama-nama dan pelbagai tarikh dari masa silam? Malah tarikh lahir dan tarikh meninggal dunia begitu ramai manusia, pun boleh ingat?

Tetapi temujanji, tarikh pembayaran bil, tak ingat pula?

Mujurlah tarikh ulangtahun perkahwinan dan hari lahir anak beranak sekeluarga saya tidak lupa.

Susah untuk sesiapa percaya saya seorang pelupa. Masakan pelupa boleh menghafal fakta-fakta sejarah itu. Saya pun tidak tahu kenapa. Apa penjelasannya? Kenapa begitu?

Sehinggalah saya belajar tentang memori dan pembelajaran. Working memory, short term memory, sensory, long term memory.

Jika ia menarik, relevan, mengundang minat dan saya menjadi hiperfokus.

Tetapi bil-bil dan temujanji kebanyakannya tidak menarik. Walaupun penting. Dan mengingatkan saya tentang kepentingan tarikh-tarikh tersebut, seperti tidak cukup untuk membina prioriti dan fokus. Saya perlu membina minat.

Oh, ini susah.

Bukan semua benda yang kita perlu buat, adalah sesuatu yang menarik minat dan perhatian.

Moga Allah kuatkan keazaman saya, melakukan perkara-perkara yang saya perlu buat, walaupun saya tidak minat.

Bismillah.

Rizal
Oulu, FI

Malam Itu

Tidak ada sesiapa yang memilih untuk gagal berulang kali. Apatah lagi kegagalan itu adalah di dalam sesuatu yang kita sangat berbakat dan berkelebihan. Saya tahu ada sesuatu yang tidak kena. Tetapi saya tidak tahu bagaimana hendak mengungkapkannya. Apa yang hadir ke dalam diri hanyalah sedikit demi sedikit kepercayaan bahawa saya pemalas, tidak berdisiplin, tidak fokus, lemah motivasi, pandai cakap tetapi tidak pandai buat kerja.

Ramai yang berminat untuk bekerja dengan saya, selepas mengenali saya melalui tulisan dan pergaulan. Tetapi pengalaman bekerja dengan saya mengundang kecewa. Urusniaga syarikat tunggang langgang. Berulang kali saya memberitahu, saya boleh berceramah, tetapi saya tidak boleh mengepalai organisasi. Urus tadbir saya lemah.

Lihat sahajalah kepada cara saya mengurus pembelajaran.

8 tahun proses menghabiskan pembelajaran peringkat sarjana muda.

Semua subjek sarjana sejarah dan ketamadunan saya mendapat CGPA 4.0

Dean list.

Anugerah demi anugerah untuk kerja-kerja kecil.

Kemudian tumpas di peringkat penulisan tesis.

Ya, pemalas.

Tidak fokus.

Buat kerja hangat-hangat tahi ayam.

Lama-lama, saya mula percaya bahawa semua itu adalah saya.

Saya yang semakin membenci diri sendiri.

Sehinggalah malam itu apabila saya sudah kebingungan jam 2 pagi. Bunyi angin kutub utara menderu di luar rumah sangat mengganggu tumpuan. Bunyi air panas yang mengalir di dalam paip terlalu menyakitkan. Assignments bertimbun-timbun.

Saya membayangkan saya mati diserang sakit jantung.

Tamat sebuah penderitaan.

Malam itu saya tahu saya perlukan bantuan.

Rizal
OULU, FI

#sensoryprocessingdisorder #spd #anxious #hypersensitive #adhd #adultadhd