Terima Kasih Tom Brown

Tom Brown di dalam siri video ‘Understood’ ini menyenaraikan semua masalah yang membelenggu kehidupan saya selama ini.

2:19 Kesukaran untuk ‘stay tune’. Di peringkat awal, boleh memberi tumpuan, tetapi selepas beberapa ketika fikiran melayang ke sana sini. Ia tidak menjadi masalah besar bagi saya sekiranya apa yang saya perlu tumpukan itu adalah sesuatu yang sangat menarik (bukan sangat penting).

2:45 Terganggu dan hilang tumpuan, ‘distracted‘. Sedang buat sesuatu, tetapi tanpa disedari telah berlaih kepada sesuatu yang lain.

6:20 Jika menarik, boleh fokus. Jika tidak, tidak boleh fokus. Keutamaan terlalu dipengaruhi oleh faktor menarik atau tidak menariknya ia, dan bukannya faktor penting dan segera.

8:36 Sukar mengurus diri dan memulakan sesuatu. Lama termenung untuk memulakan sesuatu, dan ia menyedihkan. Kerja banyak, tetapi akhirnya jadi terbengkalai dan bertimbun.

9:15 Kesukaran untuk memulakan tidur. Kepala tidak berhenti berfikir. Sangat sukar untuk semasa berbaring, berhenti berfikir dan tidur. Hendak menggambarkannya pun sukar. Hairan dengan orang yang boleh baring, pejam mata dan lelap. Mudahnya mereka tidur.

10:18 Masalah untuk menyelesaikan tugas yang telah dimulakan. Khususnya pekerjaan yang memerlukan komitmen yang lama, semakin kompleks dan hilang faktor menarik seperti yang disebut tadi.

11:10 Masalah menulis, memindahkan idea kepada penulisan. Siapa yang hendak percaya, seorang penulis ada masalah menulis. Namun inilah masalah paling membelenggu diri. Saya pun tidak faham mengapa saya masih terus mencuba di bidang akademik. Sudah masuk kali keempat percubaan mendapatkan masters degree, tetapi masalah inilah masalah paling besar dan mengundang penderitaan serta kemurungan.

11:57 Kesukaran mengendalikan emosi dan mood. Perkataan ‘sangat’, ‘terlalu’, ‘amat’, ‘begitu’ adalah emosi-emosi yang meletihkan. Dan terlalu banyak (laju sahaja saya taip perkataan ‘terlalu’ itu) memikirkan tentang fikiran orang lain mengenai diri dan pendapat kita. Latihan mengendalikan tingkah laku saya banyak saya tumpukan di sini. Saya sudah boleh bertenang dan mengabaikan faktor ini yang bersumber daripada orang yang saya tidak kenal. Namun masih memerlukan banyak usaha untuk faktor yang datang daripada keluarga dan rakan.

11:50 Working memory. Susahnya hendak menghafal al-Quran. Ustaz jenis apakah saya ini jika hendak menghafal al-Quran pun susah?

18:09 Managing action, slowing down, speeding up. Apabila buat sesuatu yang menarik, zoning out dan melakukannya hingga lupa sekeliling dan sukar untuk memperlahankan kerja. Dan jika perlahan pula, amat sukar untuk meningkatkan kelajuan.

19:40 Semua ini, dalam kebanyakan keadaan adalah diwarisi secara genetik. Emak dan abah datang dari zaman yang ADHD tidak dikenali. Saya tidak tahu. Abah seorang yang agak socially selective, pendiam, kuat membaca, mudah tertidur pada waktu siang, dan selebihnya saya tidak sempat memerhati. Abah pergi terlalu awal. Emak pula seorang yang cerewet dari segi kebersihan dan kekemasan, semua benda mesti kemas dan betul letak kedudukannya.

21:02 Peringkat kehidupan paling sukar kerana lambakan tugasan yang perlu dilunaskan. Sudah 15 tahun saya cuba melunaskan masters degree dan selama itu jugalah jadi tidak tenang, sehingga tertanya, kenapalah aku menyeksa diri sendiri?

22:08 Apa sebenarnya berlaku di dalam otak semasa semua ini terjadi? Sudilah memanfaatkan teknologi untuk lebih memahami bahawa masalah ini bukan masalah sikap. Saya penat memikirkan diri ini tidak berdisiplin, tidak boleh diharap, kerana saya tidak mahu semua itu. Saya mahu cemerlang, efektif, dan idea-idea saya dapat diterjemahkan menjadi manfaat. Tetapi ada makhluk di dalam kepala saya ini yang menyedihkan saya.

26:00 Ubat bukan penyembuh, tetapi membantu. Saya belum memulakannya. Tetapi sedang memikirkan, khas untuk 2019-2020 sahaja. Please.

27:07 Diagnosis, dan mewujudkan ‘team’ untuk menyokong. Saya bersendirian…

Kupohon ‘inayah-Mu ya Allah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *