Menarik Minat

Macam mana boleh ingat nama-nama dan pelbagai tarikh dari masa silam? Malah tarikh lahir dan tarikh meninggal dunia begitu ramai manusia, pun boleh ingat?

Tetapi temujanji, tarikh pembayaran bil, tak ingat pula?

Mujurlah tarikh ulangtahun perkahwinan dan hari lahir anak beranak sekeluarga saya tidak lupa.

Susah untuk sesiapa percaya saya seorang pelupa. Masakan pelupa boleh menghafal fakta-fakta sejarah itu. Saya pun tidak tahu kenapa. Apa penjelasannya? Kenapa begitu?

Sehinggalah saya belajar tentang memori dan pembelajaran. Working memory, short term memory, sensory, long term memory.

Jika ia menarik, relevan, mengundang minat dan saya menjadi hiperfokus.

Tetapi bil-bil dan temujanji kebanyakannya tidak menarik. Walaupun penting. Dan mengingatkan saya tentang kepentingan tarikh-tarikh tersebut, seperti tidak cukup untuk membina prioriti dan fokus. Saya perlu membina minat.

Oh, ini susah.

Bukan semua benda yang kita perlu buat, adalah sesuatu yang menarik minat dan perhatian.

Moga Allah kuatkan keazaman saya, melakukan perkara-perkara yang saya perlu buat, walaupun saya tidak minat.

Bismillah.

Rizal
Oulu, FI

Malam Itu

Tidak ada sesiapa yang memilih untuk gagal berulang kali. Apatah lagi kegagalan itu adalah di dalam sesuatu yang kita sangat berbakat dan berkelebihan. Saya tahu ada sesuatu yang tidak kena. Tetapi saya tidak tahu bagaimana hendak mengungkapkannya. Apa yang hadir ke dalam diri hanyalah sedikit demi sedikit kepercayaan bahawa saya pemalas, tidak berdisiplin, tidak fokus, lemah motivasi, pandai cakap tetapi tidak pandai buat kerja.

Ramai yang berminat untuk bekerja dengan saya, selepas mengenali saya melalui tulisan dan pergaulan. Tetapi pengalaman bekerja dengan saya mengundang kecewa. Urusniaga syarikat tunggang langgang. Berulang kali saya memberitahu, saya boleh berceramah, tetapi saya tidak boleh mengepalai organisasi. Urus tadbir saya lemah.

Lihat sahajalah kepada cara saya mengurus pembelajaran.

8 tahun proses menghabiskan pembelajaran peringkat sarjana muda.

Semua subjek sarjana sejarah dan ketamadunan saya mendapat CGPA 4.0

Dean list.

Anugerah demi anugerah untuk kerja-kerja kecil.

Kemudian tumpas di peringkat penulisan tesis.

Ya, pemalas.

Tidak fokus.

Buat kerja hangat-hangat tahi ayam.

Lama-lama, saya mula percaya bahawa semua itu adalah saya.

Saya yang semakin membenci diri sendiri.

Sehinggalah malam itu apabila saya sudah kebingungan jam 2 pagi. Bunyi angin kutub utara menderu di luar rumah sangat mengganggu tumpuan. Bunyi air panas yang mengalir di dalam paip terlalu menyakitkan. Assignments bertimbun-timbun.

Saya membayangkan saya mati diserang sakit jantung.

Tamat sebuah penderitaan.

Malam itu saya tahu saya perlukan bantuan.

Rizal
OULU, FI

#sensoryprocessingdisorder #spd #anxious #hypersensitive #adhd #adultadhd