Bercakap Seorang Diri

“Eh, telefon itu skrinnya asyik menyala. Mesti ada butang yang tertekan. Kena padamkan selepas ini”

Boleh pula terlintas di fikiran saya semasa solat. Ternampak telefon anak menyala di bawah sofa. Terfikir selepas beri salam mahu switch off telefon berkenaan.

Astaghfirullah.

Tengah solat ni. Sila kembali khusyuk!

Selepas beri salam dan bercakap dengan Tuhan (berdoa), saya mahu bentang tilam untuk melelapkan mata. Jam pun sudah pukul 11:30. Selepas bentang lapisan tilam pertama, eh… cawan siapa pula ni? Letak depan tv. Nanti kering susah nak basuh. Kalau dibiarkan lama lagi, nak menonton tv pun terganggu sebab dihalang oleh cawan ini!

Tangan sudah memegang cawan berkenaan.

Nanti! Nanti!

Letak balik cawan ini, selesaikan dahulu bentang tilam ini. Kemudian baru buat kerja lain!

Selesai bentang tilam, saya bawa cawan berkenaan ke dapur. Eh, lupa pula makan ubat. Sebelum tidur kena makan ubat. Saya ke almari dan mengambil ubat.

Kuat betul bau spaghetti goreng tadi. Susah nak lelap malam ni. Saya buka tingkap dapur. Tingkap depan tu terbuka kuat sangat. Sekejap lagi jam 12, traktor pembersih salji akan datang membersihkan salji di bawah. Bising! Saya ke hadapan untuk merapatkan tingkap berkenaan.

La haula wa la quwwata illa billah!

Kamu ni kenapa? Makanlah dulu ubat tu!

Hmm…

Akhirnya jam 1 pagi, saya masih belum lelap. Bukan malam ini sahaja, kebanyakan malam memang susah nak lelap. Ada sahaja yang tidak kena. Assignments berlambak, jangan fikir, kalau fikir langsung tak boleh tidur. Fikir benda lain. Sudahnya tak boleh tidur juga. Selimut kasar sangat, baju tak selesa, ahh… lampu telefon Samsung anak berkelip-kelip di almari itu. Anjing rumah sebelah menyalak pula!

Saya nak tidur.

Saya penat.

Tidurlah diri.

Rizal
Oulu, FI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *